Sebagai sebuah universiti premier, UTM seharusnya menjadi buah mulut masyarakat, khasnya di kawasan Skudai dan Johor Bahru. Sebagaimana jika kita melawat Harvard, kita ingin menjengah ke kampus University of Harvard, walaupun sekadar mengambil gambar, begitu juga UTM boleh dijadikan satu tarikan bagi orang luar yang datang ke Johor. UTM mempunyai pakej yang serba lengkap dengan keindahan kampus dan keunikan tersendiri. Tetapi masyarakat sekeliling tidak mengetahui apa yang sebenarnya terjadi di dalam kampus, kecuali Pesta Konvokesyen (apabila khemah putih memenuhi padang kawad). Saya mencadangkan supaya Buletin Skudai Post, selain dari diedar ke pelbagai jabatan kerajaan, boleh juga diletakkan di klinik-klinik dan masjid / surau di sekitar daerah ini. Orang ramai boleh mengetahui UTM secara “inside-out” dengan membaca berita terkini yang menarik mengenai UTM. Semoga UTM semakin dekat dengan komuniti dan kita mendapat manfaat daripadanya.