Idea saya adalah mencadangkan kepada pihak universiti seperti Pejabat Harta Bina, untuk melantik kontraktor bagi melupuskan minyak masak terpakai di kawasan arked dan kafeteria. Selain melantik kontraktor, institusi seperti IPASA dan Fakulti Sains boleh memainkan peranan yang penting dalam membantu hal ini.
Seperti yang sedia maklum, pengaliran minyak masak terpakai ke dalam sistem saliran boleh mengakibatkan pencemaran kepada air. Justeru, dalam hal ini, pengaliran berterusan minyak masak terpakai daripada arked dan kafeteria ke dalam sistem saliran dan seterusnya ke dalam tasik UTM akan mempercepatkan pencemaran tersebut. Setahu saya, tasik UTM telah dibersihkan dan menelan belanja yang besar.
Kontraktor yang akan dilantik perlu menjalankan kerja melupus secara berjadual. Pihak seperti IPASA dan Fakulti Sains boleh membantu dari segi penyelidikan dan pengawalan kualiti air serta pemantauannya. Mungkin juga ada pihak lain yang boleh mencadangkan supaya minyak masak terpakai melalui proses kitar semula.