Setiap staf UTM telah diperuntukkan dengan dua (2) buah klinik panel untuk mendapatkan rawatan perubatan, sama ada untuk diri sendiri atau tanggungan dan staf juga boleh mendapat kemudahan perubatan di Pusat Kesihatan UTM. Kadang kala dalam waktu pejabat (8.00 pagi – 5.00 petang), staf lebih senang mendapatkan rawatan di Pusat Kesihatan UTM berbanding di klinik panel kerana jaraknya yang lebih dekat. Selain itu, kemudahan yang disediakan adalah lebih lengkap (contohnya, ujian darah dan x-ray) dan pesakit boleh mendapat keputusan rawatan dengan kadar segera. Memandangkan fungsi Pusat Kesihatan lebih kepada memberi kemudahan rawatan untuk mahasiswa, maka jumlah pesakit yang diterima pada setiap hari adalah sangat besar dan kadang kala staf terpaksa menunggu sangat lama bagi mendapatkan rawatan.

Sehubungan dengan itu, saya ingin mencadangkan supaya staf diberi kemudahan express lane agar masa dapat dijimatkan dan staf boleh kembali bertugas seperti biasa setelah mendapat rawatan (sekiranya tidak mendapat sijil cuti sakit). Masa staf tidak terbuang begitu sahaja dalam tempoh menunggu yang kadang kala membebankan, khususnya apabila staf perlu kembali bertugas untuk menyelesaikan tugasan yang mendesak. Diharap perkara ini dapat dipertimbangkan agar dapat mewujudkan suasana kerja yang efisien di samping staf dapat menjalani gaya hidup sihat dan bahagia.