Dalam kesibukan dengan kempen “Go Green’ di dalam kampus, kadangkala kita terlepas pandang perkara yang hampir di hadapan kita. Kalau 5-6 tahun yang lalu, bila ada urusan di Bangunan Pentadbiran UTM, saya teruja untuk melihat kehijauan, mendengar deruan air terjun dan melihat ikan-ikan yang berenang di dalam kolam tetapi kini yang tinggal hanya kehijauan pokok-pokok.
Saya mencadangkan agar keindahan dan keceriaan alam flora dan fauna 10 tahun yang lalu yang terdapat di tengah-tengah Bangunan Pentadbiran dapat diwujudkan kembali. Dalam mengekalkan kehijauan, kita perlu ada kombinasi alam semulajadi di taman.
Untuk mencantikkan lagi, dirikan wakaf kecil dan tempat pejalan kaki yang mempunyai ukiran corak mural segar dengan motif flora dan fauna cukup menarik.
Selain persekitaran sentiasa bersih, pihak yang bertanggungjawab sentiasa peka menjaga landskap agar ceria, mempesona dan mengkagumkan pandangan mata. Tidak hairanlah landskap hijau yang digubah mampu memberikan tarikan dan kepuasan kepada pengunjung dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Bangunan Pentadbiran UTM.