Saya mencadangkan agar UTM dapat mewujudkan satu kursus pembelajaran yang berkaitan perhotelan meskipun UTM lebih ke arah bidang teknologi yang selari dengan arus masa. Saya memberikan cadangan seperti ini kerana saya melihat pelbagai dan banyak bangunan yang ada di UTM Kuala Lumpur ini tidak digunakan dengan sebaiknya.

Sebagai contoh di Residensi UTMKL, pihak UTM KL telah memberikan/melantik pengurusan hotel kepada Widad University College untuk mentadbir dan menguruskan segala perihal berkaitan perhotelan.

Apa yang dapat saya lihat dan bayangkan, sekiranya kursus perhotelan dapat diwujudkan oleh pihak UTM dengan fasiliti yang sedia ada baik di kampus Kuala Lumpur atau Skudai ia pasti dapat membantu pihak UTM untuk menjana pendapatan dan dapat memberi peluang pekerjaan kepada pelajar lepasan UTM sendiri.

Saya merupakan salah seorang staf UTM yang menyewa bilik bersaiz studio dibawah kelolaan Widad University College. Daripada pemerhatian dan pandangan saya mengenai servis serta perkhidmatan yang ditawarkan, saya amat yakin dan pasti bahawa pihak UTM mampu melakukan lebih baik daripada ini dengan kepakaran dan kebolehan yang ada pada sesetengah staf akademik sedia ada. Dengan kadar sewaan yang pihak Widad ambil daripada saya dan penyewa yang lain, ia sedikit sebanyak mampu menjana pendapatan universiti. Dalam masa yang sama, pihak universiti dapat memperkenalkan lagi nama UTM dan sekaligus dapat menambah peluang pendidikan.

Sekiranya pihak universiti mengambil kira nilai hartanah semasa, kadar dan jumlah sewaan yang pihak Widad kenakan kepada semua penyewanya adalah berpatutan dan mampu memberi jumlah penjanaan serta pulangan kewangan yang stabil di masa hadapan.

Sekadar itu sedikit cadangan dan pandangan yang dapat saya berikan. Saya hanya berpendapat sekiranya pihak UTM mampu menggunakan segala fasiliti dan infrastruktur yang ada untuk menjana kewangan universiti, pasti pihak universiti akan mendapat keuntungan yang berbaloi di masa hadapan meskipun perlu mengeluarkan satu jumlah yang besar sebagai permulaannya. Ini kerana UTM Kuala Lumpur terletak dan berada di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur yang menjadi tumpuan pelancong baik daripada dalam mahupun luar negara.