Kebanyakan bahan yang boleh dikitar semula seperti plastik, kaca dan kertas serta bahan buangan berjadual seperti perkakasan elektronik, bateri, dakwat mesin cetak dan sebagainya dibuang atau dilupus di tong sampah biasa. Terdapat juga perkakasan elektronik yang rosak tersadai di pejabat atau stor bagi jangka masa yang lama dan tiada sistem pelupusan yang baik diaplikasikan malah ada yang diambil oleh pihak kontraktor pembersihan atau pembekal masing-masing tanpa kawalan.
Sebagai alternatif untuk menangani masalah tersebut, saya mencadangkan agar satu pusat yang beroperasi dalam waktu pejabat ditubuhkan bagi membolehkan mahasiswa dan staf menjual bahan-bahan buangan yang bersesuaian.
Individu atau unit yang ditugaskan pula perlulah mahir dan berkelayakan untuk menguruskan bahan buangan tersebut terutamanya bahan buangan berjadual. Jabatan Alam Sekitar perlulah dijadikan sumber untuk semakan dari segi pengurusan bahan buangan ini.
Walaupun hasil jualan bahan-bahan kitar semula dan bahan buangan berjadual ini jauh lebih murah (mungkin unit ini dapat menawarkan pada harga yang lebih menarik), ia dapat memberikan kesedaran kepada warga Universiti akan kepentingan pengendalian bahan kitar semula dan bahan buangan berjadual tersebut.
Operasi pusat ini perlulah dihebahkan dan diuruskan dengan baik serta konsisten bagi mengelakkan operasinya dianggap ‘tenggelam timbul’.
Warga UTM perlulah dididik mengenai pengurusan bahan-bahan kitar semula dan bahan buangan berjadual ini kerana masih ramai yang tidak faham tentang pengurusan yang betul dan dikuatiri akan memberikan kesan buruk kepada alam sekitar pada masa akan datang.
UTM Campus Sustainability (UTM CS) pernah memohon tapak untuk Pusat Kitar Semula UTM dari PHB. Sebelum ini, program kitar semula dijalankan dengan kerjasama pihak SWM datang ke UTM setiap hari Isnin untuk membeli bahan kitar semula di tepi Tasik UTM. Program ini dikenali sebagai ‘Monday is UTM Recycling Day’. Pada masa sekarang, UTM CS sudah mempunyai perancangan untuk mewujudkan pusat tersebut di dalam kampus seperti mana yang terkandung di dalam buku Pelan Global Universiti (Fasa II: 2015-2017).
Maklumbalas sehingga Mei 2015.