Senario Masalah
Pelekat ini sebagai pengganti notis saman kesalahan lalu lintas yang dikeluarkan pihak keselamatan yang tidak diendahkan oleh pesalah sehingga ia tidak berperanan sebagai ‘pencegah’ (deterrent). Seringkali notis tersebut dibuang tanpa mematuhi peraturan yang ditetapkan. Perkara ini menyebabkan masalah parkir kereta, motosikal dan lain-lain yang berterusan sehingga menyulitkan pengguna lain selain staf yang diperuntukkan petak parkir. Saya tidak hairan satu hari nanti ada pelajar (terutamanya) yang parkir di petak pegawai kanan UTM kerana saya pernah diberitahu kawan-kawan ada insiden di mana apabila menegur pelajar antarabangsa yang meletak kereta di tempat yang tidak sepatutnya, pelajar tersebut menjawab “This is Allah’s land!”
Cadangan Saya
UTM (Pihak Keselamatan) sediakan pelekat berukuran 3/4 saiz A4 (atau saiz yang sesuai) yang berwarna cerah (fushia atau hijau terang seperti warna pen highlight) yang tercetak maklumat-maklumat seperti cabutan peraturan lalu lintas di UTM; ruang-ruang yang boleh diisi oleh pegawai bertugas maklumat kesalahan yang dilakukan, tempat, masa, no. kenderaan dan lain-lain (seperti yang dipraktikkan sekarang). Pelekat ini adalah daripada jenis ‘peel off’, iaitu setelah ditulis semua maklumat berkaitan, pelekat ini boleh ditanggalkan pelapik belakangnya dan ditampal terus pada cermin. Saya cadangkan pelekat ini ditampal pada cermin sebelah pemandu kereta atau pada tangki minyak motosikal.
Ciri-Ciri Pencegahan Kesalahan Berulang
Pelekat ini sama seperti pelekat bergam kuat (adhesive) tanda harga. Apabila tuan punya kenderaan cuba menanggalkan pelekat ini, dan oleh kerana gam yang digunakan jenis kuat, maka ia akan meninggalkan cebisan kertas pelekat pada cermin sehinggakan tuan punya terpaksa mengikis atau menggunakan ‘solvent’ untuk menanggalkan gam yang melekat. Inilah yang dikatakan ciri-ciri pencegahan pelekat ini. Saya yakin pesalah akan berfikir dua kali untuk mengulangi kesalahan lalu lintas. Ini juga memudahkan tugas pegawai keselamatan kita dari segi mengambil tindakan tetapi tidak diendahkan oleh pesalah.
Selamat Mencuba!!!