Memandangkan kampus UTM menuju ke arah pelestarian dan penggunaan basikal digalakkan untuk mengurangkan asap kenderaan dalam kampus, saya mencadangkan agar diwujudkan satu landasan dan tren @ kenderaan yang berbentuk seperi LRT dengan menggunakan kuasa bateri atau solar di mana laluannya adalah meliputi seluruh kawasan kampus.

Dengan adanya tren berkenaan, pihak UTM tidak perlu lagi menyewa bas luar untuk memberi perkhidmatan kepada pelajar. Ianya akan dapat memberikan perkhidmatan yang tepat masa – tiada masalah kelewatan dan pelajar tidak perlu menggunakan kenderaan lain untuk bergerak. Selain itu, pihak UTM tidak mempunyai masalah pada majlis konvokesyen di mana ibu bapa berduyun-duyun masuk ke kawasan UTM dengan menaiki kenderaan masing-masing. Pihak Universiti boleh meminta ibu bapa meletakkan kenderaan di satu kawasan dan kemudian mereka akan menaiki tren sehingga ke kawasan yang berhampiran dengan DSI.

Untuk tempoh jangka panjang, ianya dapat menjadi daya penarik kepada pihak luar sebagai salah satu program ekopelancongan kampus dengan menawarkan pakej tambahan yang menarik, lebih-lebih lagi jika pihak UTM membangunkan kawasan rekreasi ataupun mewujudkan satu pusat membeli belah dalam kawasan UTM.

Semoga cadangan saya ini dapat menyumbangkan sesuatu kepada UTM.

Terima kasih.