Salah satu sebab saya cadangkan kepada UTM untuk menjadikan PKU-UTM sebagai satu dari klinik panel kepada staf adalah untuk mengambil sedikit dari bayaran yang UTM bayar kepada klinik panel untuk dijadikan pendapatan PKU-UTM. Hasil pendapatan ini telah diagihkan 40% kepada PKU dan 60% kepada UTM. Ia telah berlaku sejak 1993.

PKU semakin berkembang dan menyumbang kepada UTMĀ  setiap bulan. Kini kami menerima pelajar kejururawatan dari kolej swasta untuk menjalani latihan praktikal di PKU-UTM kerana banyak mereka boleh belajar di PKU-UTM. Mereka juga boleh membantu kerja kami – satu dari Blue Ocean Strategy di PKU-UTM.

Hari ini kita banyak bincang bagaimana menambah endowmen dan menjana kewangan UTM.

Cuba kita fikir begini…

Terdapat ratusan kenderaan milik UTM. Setiap beberapa bulan PHB menghantar kenderaan ini keluar untuk tukar tayar. Jika PHB membangunkan bengkel tukar tayar kenderaan UTM, mungkin UTM boleh jimat perbelanjaan. Kita membuka servis kepada staf dan pelajar. Ada ribuan kenderaan mereka. Kita boleh pelbagaikan dan permudahkan cara bayaran untuk staf dan pelajar. Potongan gaji contohnya.

Kita boleh menggunakan bengkel ini sebagai tempat staf dan pelajar buat kerja sambilan. Terdapat banyak hal pelajar kita boleh belajar di bengkel ini. Sebagai contoh, pengurusan, perniagaan, mekanikal, elektrikal dan robotik. Pelajar UTM atau pelajar luar boleh membuat latihan praktikal.

Ini hanya satu contoh. Mungkin ada banyak lagi yang lain lebih sesuai.

“Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang meminta”.